top of page

Kesan jangka panjang kepada anak yang tidak bermain

Anak saya yang ketiga, Dzaheen namanya. Umur 8 tahun.


Orangnya dah besar. Tinggi hampir separas bahu saya. Dah boleh masak breakfast yang simple sendiri. Boleh basuh baju guna mesin basuh sendiri. Boleh juga buatkan air milo untuk dia dan abangnya. Dia juga tahu untuk kemas katil setiap pagi dan pandai jaga adiknya yang baru berumur 2 tahun.


Kalau dilihat dari segi fizikal dan semua kebolehan yang dia ada, kita mungkin menganggap dia dah besar. Dah boleh berdikari. Dah tahu apa yang perlu dibuat sendiri.


Tapi, ada satu perkara yang dia tetap akan buat setiap hari.


Dan tak akan missed buat setiap hari.


Apa dia?


Dia suka BERMAIN.


Sambil tunggu kelas Pdpr, dia akan main bottle flip. Ataupun main scooter di dalam rumah. Sementara tunggu saya hidang makanan untuk makan tengah hari, dia akan main bola. Dah habis makan, sambil minum-minum, dia main chess pula dengan abangnya. Malam pula, sambung main Ping Pong dengan abang dan adiknya. Kalau tak ada orang join, dia akan main sendiri. Kalau tak ada mainan, dia akan ajak adik dan abangnya bermain apa-apa saja. Ikut kreativiti mereka. Sehingga mereka ada permainan dan lagu yang mereka cipta sendiri.


Kalau dulu, saya silap bila saya sangka dia dan abangnya sama, walaupun saya tahu jarak umur mereka agak jauh iaitu 3 tahun. Saya sangka mereka perlu diurus dengan cara yang sama.


Tapi, rupanya ada banyak beza.


Tempoh masa untuk fokus sesuatu perkara, tak sama. Adik boleh fokus sekejap saja. Tak selama abangnya.


Cara nak 'hadam' apa yang dilihat dan diceritakan kepada dia, pun tak sama. Dalam kata lain, kalau abang dah banyak tahu perkara baik dan buruk, adik ini masih perlu bantuan untuk bezakan apa yang baik dan apa yang tidak boleh diikut.


Oleh sebab mereka suka main bersama, saya terus hentikan mereka main game yang ada unsur ganas (seperti Roblox) dan unsur melibatkan ketuhanan (seperti game lumba motor yang ada sembah kuil di dalamnya) dan juga video yang kurang sesuai contohnya video kanak-kanak dengan aksi 'prank'.


"Adik kecil lagi. Umur adik tak sesuai untuk main ini." itu yang saya beritahu abangnya.


Dan saya galakkan mereka main permainan lain yang lebih sesuai dengan umurnya.




10 tahun pertama adalah masa bermain


Ya, 10 tahun pertama adalah masa bermain. Dan mengikut kajian, anak-anak yang kurang bermain, akan mengalami keadaan seperti kemurungan, suka menyendiri, tidak dapat mengawal diri dan cepat putus asa.


Adakah itu yang kita mahukan?


Mungkin itulah juga jawapan kepada persoalan yang sering ditanya, bila ibu bapa rasa anak lebih suka menyendiri, tidak mahu bersosial, malah nak berbual dengan ibu bapa pun payah.


Semasa bermain, mereka belajar banyak perkara tentang diri mereka, belajar tentang cara berkomunikasi dengan orang lain dan belajar tentang perkara di persekitaran mereka.


Mereka belajar untuk bersosial. Contohnya; bagaimana untuk meminta, ajak kawan main bersama, marah kawan yang tidak mengikut peraturan permainan, memujuk, memuji, mengkritik, mendiamkan diri, mengawal diri sendiri dan banyak lagi.


Mereka juga belajar tentang diri sendiri dan cara menggunakan setiap anggota tubuh mereka dengan baik. Bagaimana untuk pegang, baling, sepak, picit, hidu, lihat dengan cepat, fokus mencari kelainan dan lain-lain.


Dan mereka belajar untuk menyelesaikan masalah. Bagaimana untuk menyusun, membina dan mencipta untuk selesaikan masalah yang ada semasa mereka bermain. Contohnya, jika jaring gol lebih kecil dari bola, mereka tahu untuk mencari jaring yang lebih besar atau bola yang lebih kecil.


Semasa bermain, ia berbeza dengan semasa anak menjalani 'peperiksaan'. Ini kerana semasa bermain, mereka boleh cuba pelbagai cara untuk selesaikan cabaran dan isu yang dihadapi. Mereka bebas untuk berfikir secara kreatif bagi mencari jalan penyelesaian.


Dalam kata lain, ia tidak terhad kepada 'HANYA SATU JAWAPAN SAJA YANG TEPAT'.


Sama situasi seperti dalam hidup kita. Akan ada banyak cara dan banyak peluang untuk kita menghadapi cabaran mengikut kreativiti masing-masing.


Jujurnya, semasa bermain mereka bukan saja belajar untuk 'survive' dalam hidup, tapi juga untuk majukan diri mereka.


Apa yang berlaku jika anak hanya bermain permainan yang kita suka panggil ia sebagai 'educational' dan mirip seperti peperiksaan, yang hanya ada satu jawapan yang tepat?


Apa pula berlaku jika setiap kali bermain, kita akan bantu anak untuk sentiasa 'menang'?


Apa yang terjadi jika anak yang sebaya Dzaheen, yang masih dalam fasa bermain, tetapi tidak dibenarkan bermain? Sebaliknya perlu fokus belajar dan belajar sahaja. Tidak boleh main.



Anak-anak belajar dengan bermain


Anak-anak kita belajar dengan bermain. Semasa bermain, mereka praktikkan apa yang mereka lihat dan dengar sebelum ini. Mereka teroka perkara baru yang belum pernah mereka tahu.


Izinkanlah anak anda bermain.


Tanpa perlu hadkan kepada permainan yang anda rasakan ia 'educational' sahaja. Biarkan mereka bebas bermain. Berlari. Main sorok-sorok. Membina 'kubu' mereka sendiri.


Biarkan. Biarkan mereka gelak ketawa bergembira semasa bermain. Jangan sesekali rasa 'annoying' melihat keadaan itu.


Ada ibu yang beritahu saya, yang beliau dah simpan semua mainan anaknya yang baru berusia 5 tahun supaya anak lebih fokus belajar.


Ada juga ibu yang bertanya kepada saya, bila anaknya yang sebaya Dzaheen masih suka bermain dan ia dianggap sebagai satu 'masalah' pula kepada ibu ini.


Ada anak-anak yang ibunya hanya hadkan permainan kepada permainan yang dianggap 'educational' sahaja. Sedangkan apa saja yang anak main, pasti dia belajar sesuatu darinya.


Contohnya semasa main bola; anak belajar menggunakan kekuatan kaki, keseimbangan badan, menganggar jarak, fokus melihat 'target' dan persekitaran serta belajar 'cue' dari rakan sepasukan. Dan ia tak dapat dipelajari hanya dengan membaca buku berkaitan permainan bola atau menonton video sahaja. Mereka perlu belajar mengaplikasikannya.


Ada ayah yang tidak mahu beri anaknya bermain kerana setiap kali main, permainan akan rosak.


Tapi, sebenarnya itulah pembelajaran paling berharga. Bila ada masalah, belajar cara untuk selesaikannya.



Love,

Zuraida Shahime

328 views0 comments
bottom of page