top of page

Bagaimana untuk pilih mainan yang dapat galakkan anak cepat bercakap?

Updated: Aug 26, 2021



Dalam banyak-banyak mainan, apa yang dapat bantu anak cepat bercakap?


Terutama untuk anak-anak yang pada umur 2 tahun, masih lagi tak bercakap.

Tiada perkataan bermakna.

Hanya diam dan tunjuk-tunjuk saja untuk minta sesuatu.


Sebenarnya, tak kisah apa saja mainan yang kita guna atau kita bermain tanpa mainan,


tapi


anda perlu faham ada sesetengah mainan yang membuatkan kurang peluang untuk anak berkomunikasi.


Interaksi anak dengan kita akan jadi terhad sama ada secara verbal (bercakap) atau pun nonverbal (tanpa bercakap).


Jadi, saya share tips ini sebagai panduan untuk anda pilih mainan yang sesuai untuk anak yang lambat bercakap. Bukan untuk anak yang lambat bercakap sahaja, tapi sebenarnya inilah asas awal untuk pilih mainan untuk anak kita walaupun dia banyak bercakap. Ini kerana dengan permainan-permainan sebegini, kita dapat bantu kembangkan imaginasi dan cetuskan kreativiti dalam minda mereka.


Mainan tanpa bateri

Kereta mainan yang biasa adalah lebih baik berbanding kereta dengan bateri.

Pilih mainan tanpa bateri. Biar anak cuba untuk gerak-gerakkan sendiri mainan itu.

Kalau sepatutnya kereta itu boleh keluarkan bunyi niii-nooo-niii-noooo, tapi apabila tiada bunyi, inilah peluang untuk kita latih anak cuba buat bunyi.


Mulakan dulu. "Wah ada kereta polis. Nii-noo-nii-nooo." dan lihatlah anak kita cuba eksperimen buat pelbagai bunyi.





Mainan yang boleh bergerak & digerakkan

Ini antara permainan asas untuk anak. Ia melibatkan fizikal.

Ia membantu anak untuk lebih kenal fungsi tubuh badannya.

Apa yang tangannya boleh buat. Contohnya membaling bola atau belon supaya terbang tinggi ke atas. Apa yang boleh dibuat dengan kakinya, yang boleh menendang bola, melompat dan berlari dengan pantas.


Sebelum berlari, kita sebut, "Sedia, lari....."

Semasa main belon, kita sebut, "tinggi... tinggi lagi." supaya belon naik tinggi ke udara.

Kalau bermain belon buih (bubbles) pula, kita buat bunyi, "pop pop pop" sambil ajak anak pecahkan belon.

Banyakkan perkataan yang kita boleh ajar anak semasa bermain? Dan ia berlaku dengan sangat natural dan seronok.





Mainan yang dapat bantu anak kenal tubuh badannya

"Kepala, bahu, lutut, kaki..lutut kaki."

Ini antara lagu kanak-kanak yang dapat bantu anak kenal nama anggota badannya.


Kenapa perlu kenal anggota tubuh badan?


Supaya anak lebih sedar dan tahu apa yang ada pada tubuhnya, apa yang boleh dibuat dan apa yang berlaku dengan tubuh badannya.


Bukan itu saja, kita juga mahu supaya anak dapat beritahu sekiranya dia perlukan sesuatu atau sesuatu berlaku pada tubuh badannya. Ini supaya kita tak lah tertanya-tanya kenapa anak menangis tiba-tiba.


Contohnya, semasa main, anak boleh bagitahu apabila kakinya sakit.

Atau mainan terkena pada matanya.


Kemudian, ia akan memudahkan kita untuk mengajar anak fungsi-fungsi lain yang boleh dibuat dengan tubuh badannya seperti sepak bola, bersalam, senyum, menulis dan lain-lain.


Jadi selain lagu tadi, kita boleh bermain dengan mainan seperti Mr Potato (yang sangat popular dalam movie Toy Story) atau mainan seperti anak patung bayi yang ada jelas kelihatan tubuh badannya. Mainan seperti ini juga dapat bantu kita ajar anak perkataan 'kata kerja' (verbs) contohnya, baby (anak patung) duduk, tidur, lari, lompat, sakit, dan lain-lain.





Mainan yang boleh main dengan orang lain

Ada mainan yang memang perlukan 'kawan' untuk bermain. Contohnya bemain bola sepak. Memang anak boleh main bersendirian, tapi lagi seronok bila dapat main bersama.

Kita boleh ajar anak namanya semasa bermain. "Papa baling bola..."

"Sekarang, Haseef pula.."

"Haseef.."

"Papa."

Lama kelamaan, anak dapat belajar nama semua anggota keluarga.

Semasa main permain begini, biasanya akan berlaku keadaan yang tak terjangka. Contohnya, bola masuk bawah kerusi atau keluar dari kawasan permainan. Dan waktu ini, kita boleh ajar anak bertanya, "Mana? Mana?.."


Kita juga boleh ajar anak raikan bila berjaya jaringkan gol. Supaya anak rasa seronok bila bermain bersama. Dan dia akan rasa seronok bila berbual bersama-sama dengan kita nanti.







Mainan yang berkait aktiviti harian

Contoh paling mudah adalah set minum petang.

Ada cawan, sudu, teko, piring dan kek. Boleh ajak sekali anak patung atau teddy bear main minum-minum.

Semasa buat air dalam teko mainan, kita cakap "kacau.. nak kacau air...oh panas."

Kemudian, bila tuang ke dalam cawan, kita cakap, 'nak tuang air... "

Dan ajak minum sama-sama. "emm sedap."

Banyakkan perkataan yang anak boleh belajar?


Sebenarnya mainan seperti ini tidak kira jantina. Anak lelaki pun suka main dengan Tea Set ni. Sebab semua orang akan makan dan minum setiap hari.





Mainan yang boleh latih anak berbual/berlakon

Mainan jenis ini melibatkan imaginasi.

Kalau dulu, kita selalu main cikgu-cikgu. Sorang jadi cikgu, yang lain jadi murid. Mainan yang digunakan hanya pembaris panjang, untuk tunjuk tegasnya cikgu tu.


Ada banyak lagi mainan begini. Main 'doktor-doktor' dengan set stetoskop doktor atau main 'jual-jual' dengan set troli dan rak kedai.



Semasa main, berbuallah.

"Hi doktor"

"Hi"

"Saya sakit."

"Sakit kat mana?"

"Demam."

"Oh panas lah dahi ni. Biar saya cek."


Tanpa skrip pun anak boleh belajar bercakap, bila masuk dalam watak masing-masing.


Mainan yang ada ABC & 123, tunggu dulu!

Adakah anak benar-benar bermain apabila melibatkan huruf dan nombor?

Bila bermain dengan huruf, mesti perlu padankan atau namakan.

Dan..... mesti tak boleh salah. Sama macam di sekolah.


Akhirnya, anak tak rasa seperti bermain. Tapi seolah diuji sentiasa. Sentiasa dalam 'exam'. Kita pun akan stress jika selalu ditanya dan digesa-gesa untuk faham dan hafal simbol-simbol huruf dan nombor ini.


Kebanyakan kita, mahu cepat-cepat anak pandai membaca seawal usia 2 tahun. Tapi, cuba perhatikan, adakah anak akan berkomunikasi dengan menyebut huruf? Adakah anak akan bercakap dengan mengeja?

Tidak....


Kerana itu bukanlah perkataan bermakna yang penting untuk anak belajar dari usianya yang masih kecil.


Kita lebih mudah belajar dalam keadaan tenang, gembira dan natural. Tidak dibuat-buat. Tidak dipaksa-paksa.


Ketepikan dulu permainan jenis ini buat sementara. Dan banyakkan mainan yang lebih galakkan anak bercakap secara natural.


Anak akan tunjuk minat jika telah bersedia untuk belajar simbol-simbol ini.



Tak kisah jantina, tapi jangan terlalu ekstrem

Memang kita tak kisah tentang jantina anak dalam pemilihan mainan.


Tapi, jangan terlalu ekstrem.


Contohnya mainan Barbie Doll yang tukar-tukar aneka jenis baju untuk anak lelaki. Atau mainan 'make-up' untuk anak lelaki.


Apa yang anak main semasa kecil, sedikit sebanyak akan mempengaruhi karakternya apabila dewasa nanti. Salah satu punca adalah bila anak rasa itu permainan yang paling dia pandai bermain. Jadi, hindarkan sebelum ia menjadi masalah pada masa akan datang.



Mainan yang ada 'screen'

Ini yang jadi isu apabila anak anggap benda yang ada screen, contohnya laptop, ipad atau handphone sebagai mainan.



Memang dalam handphone ada 'Games' yang boleh anak main. Tapi apabila kita nak melatih anak 'human skills' iaitu bercakap, kita perlu kembali kepada asasnya iaitu bercakap dan berinteraksi dengan manusia. Bukan dengan mesin atau alat digital.


Elakkan dulu beri pendedahan kepada anak dengan permainan seperti ini kerana ia akan membuatkannya hilang minat untuk berinteraksi sepenuhnya dengan orang sekelilingnya.



Tanpa mainan pun, masih boleh bermain

Tak semestinya perlu mainan, untuk ajar anak bercakap. Ada permainan yang tak perlukan mainan pun. Contohnya, main kejar-kejar, main nyorok-nyorok, main teka-teki, peek-a-boo dan banyak lagi.


Ibu ayah,


Ingat perkara ini.


Dalam melatih anak bercakap,


Tak ada magik!


Hari ni main, esok anak dah pandai bercakap. No.


Tapi, kita perlu konsisten. Anak belajar dengan pengulangan. Ulang banyak-banyak kali, sekejap-sekejap tetapi kerap.


Dan pastikan sentiasa ada interaksi dengan anak setiap hari dan interaksi yang paling menarik untuk anak adalah semasa bermain dengannya.


"Hendaklah anak kecil diberi kesempatan bermain. Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya dan membuatnya jemu terhadap hidup, sehingga ia akan sering mencari alasan untuk membebaskan diri dari keadaan ini."

-Imam Al-Ghazali-



-Zuraida Shahime-



Recent Posts

See All
bottom of page