top of page

Asas ajar anak bercakap, yang perlu ada sebelum anak berumur 1 tahun ; Part 1




"Saya nak yang terbaik untuk anak saya."

Hampir semua ibu ayah akan cakap begitu. Semua nak yang terbaik untuk anak.


Nak anak sihat. Cepat berjalan. Cepat membaca. Dan cepat bercakap.


Bila kita cakap tentang 'nak ajar anak bercakap' ini, macam-macam idea yang ibu ayah usahakan. Ada yang mula dedahkan anak dengan siri TV atau video yang dikatakan boleh ajar anak bercakap. Tapi seawal dari dalam pantang lagi. Maknanya anak itu pun belum berumur 2 bulan, tapi dah tengok siri-siri video yang seperti ini.


Adakah itu perlu?

Dan adakah ia berkesan?

Atau adakah ia beri impak yang sebaliknya?


Ada ibu ayah yang belikan anak banyak jenis mainan yang dikatakan 'educational toys' untuk merangsang perkembangan dia. Jangan salah faham, ia tak salah.


Tetapi perlulah pilih mainan yang sesuai dengan UMURnya.


Serta permainan yang dapat merangsang skill sensori, skill berbahasa dan skill bersosial dengan orang lain.


Banyak kisah yang saya jumpa, bila ibu mengadu anak tak berminat untuk main, tak berminat untuk bercerita, rupa-rupanya cara bermain dan mainan yang digunakan tidak sesuai untuk usianya.


Sabar.


Sabar ibu ayah.

Jangan cepat nak anak dewasa.


Kita perlu faham konsep ini.


Setiap satu skill yang anak belajar akan membantu anak belajar skill yang seterusnya.

Jadi jangan cepat-cepat. Biar anak belajar satu skill, demi satu skill.


Mana ada anak yang berjalan, tanpa mula berdiri. Tiada anak yang tiba-tiba terus berjalan, tanpa merangkak dan bertatih.


Sama konsepnya apabila kita nak ajar anak bercakap.


Anak perlu kuasai skill asas dahulu (yang kebanyakannya adalah tanpa anak perlu bercakap lagi) dan dari situ anak akan dapat belajar bercakap dan berkomunikasi dengan baik.


Sebelum saya terangkan perkara 'asas' ini, saya ingin bertanya;


Apakah tujuan ibu ayah mengajar anak bercakap?

Sebab sekiranya kita faham misi kita dan jelas dengan hala tuju ini, ibu ayah akan lebih jelas faham kenapa perkara yang akan saya sebutkan ini sangat penting untuk anak anda.


Kalau tanya saya, agak 'bias' lah jawapan, sebab saya adalah Speech Therapist.

Ya, tujuan saya ajar anak saya bercakap adalah supaya dia boleh berkomunikasi dengan saya dan orang sekelilingnya, dia boleh luahkan apa yang dia nak, dia boleh beritahu jika ada sesuatu yang tak selesa, dia boleh bertanya jika tidak faham sesuatu dan dia tahu tujuan hidupnya dan bagi anak yang kecil, perkara paling penting adalah agar dia tak meragam tak tentu masa.


Mana tidaknya, kajian mendapati anak yang belum pandai bercakap lebih banyak meragam.


Menangis. Ya itulah cara anak berkomunikasi sebelum bercakap. Sedangkan sejak lahir lagi anak kita menangis. Kalau anda perasan, bunyi tangisan anak kita yang masih bayi tu juga berbeza-beza dan menyampaikan maksud yang tak sama.


Bunyi menangis sebab lapar lain. Sebab sakit lain. Sebab dia nak panggil kita pun lain.

Dengar betul-betul. Dengar dengan telinga dan juga 'mata'.


OK, balik kepada soalan tadi; apa tujuan anda ajar anak bercakap?

Kalau kita dedahkan anak dengan video yang dikatakan boleh merangsang anak belajar bercakap; adakah ia kena dengan budaya dan bahasa yang kita gunakan? Adakah ia sesuai untuk anak? Adakah anak boleh practice terus dalam kehidupan seharian? Atau anak seperti 'kamus bahasa' tapi tidak tahu bila nak menggunakannya?


Bercakap bukan hanya perlu tahu banyak kosa kata. Bercakap juga perlu 'kena pada tempatnya'. Jika tak kena tempat, itu yang kita nampak ada anak yang kurang adab, ada yang tak pandai bersosial, diam, ada yang bercakap tak sesuai dengan keadaan, ada yang tidak faham lawak yang dibuat, ada yang tak pandai jawab soalan, ada yang tak pandai kawal emosi sebab dari awal dia tak berlatih mengawalnya. Dan macam-macam lagi.


Ingat, bukanlah bila kita ajar ni dari awal, semua yang saya cakap ni kita akan nampak sangat 'tip top' pada anak. Tapi ada perbezaan yang besar yang anda boleh nampak, terutama bila dia berhubungan atau berkomunikasi dengan orang lain di sekelilingnya.


Apa asas ajar anak bercakap?

Bukan mainan mahal. Bukan video hiburan kanak-kanak yang dikatakan 'educational'. Bukanlah vitamin, yang di overclaimed untuk anak pandai bercakap.


Ia adalah skill asas, yang anak-anak kita ada sebelum berumur 1 tahun lagi. Dan ia berkembang sehingga umur 2 dan 3 tahun.


Antaranya adalah;


1- Dapat beri tumpuan bersama

Ini terma dari Speech Therapist; kita panggil 'Joint attention'; tapi dalam bahasa mudahnya anak ada tunjukkan 'MINAT' untuk berbual dengan kita, untuk tengok apa yang kita buat, untuk fokus lihat benda yang kita sedang lihat.


Saya ada ceritakan dalam video ini; https://vt.tiktok.com/ZSRT8tXMs/


Itu macam skill biasa sahaja kan? Tapi kebanyakan anak yang memang ada masalah lambat bercakap ini, kurang 'minat'nya. Ada yang suka fokus kepada satu perkara saja yang dia suka, sampai apa yang berlaku di sekeliling dia tak peduli pun.


Inilah isu nya jika anak didedahkan dengan 'screen time' yang terlalu lama. Sehingga dia tak perasan dan TAK BERMINAT pun tentang perkara sekeliling. Bagaimana untuk dia belajar dari orang sekelilingnya?


2- Dapat meniru (isyarat mudah, intonasi, ritma, mimik muka, bunyi, sebutan perkataan) - asasnya perlu ada skill melihat dan mendengar yang baik

Kalau anak dah ada skill ini, itu sangat bagus. Sebab mudah untuk kita ajar apa-apa saja selepas ini.


Dan kebanyakan anak yang lambat bercakap; ada yang saya jumpa memang tiada skill untuk meniru ini (dalam kata lain, apa yang kita buat, kita sebut, kita cakap; dia tak tiru pun). Dan ada yang dia bukan tiada skill ini (bukan tak mampu dibuat), tapi tak pernah diperkenalkan dengan skill ini. Ada beza antara kedua-duanya.


Sebab itu kalau nampak anak lambat cakap, ajar dulu anak untuk meniru?


Meniru pun nak kena ajar ke?


Ya, lebih cepat anak master skill ini, lebih mudah untuk kita ajar anak bercakap.


Tapi nak ajar anak meniru ini pun ada peringkat-peringkatnya. Tak boleh lah kalau anak umur sebulan kita dah suruh dia tiru perkataan untuk disebut. Ia sangat mustahil!


Peringkat-peringkat anak belajar meniru;


1-Meniru gerakan motor kasar (dengan objek dan tanpa objek) - apa yang dia boleh buat dengan tangannya atau kakinya. Contohnya, boleh baling bola, makan menggunakan sudu, sikat rambut dan lain-lain.

Contoh tiru gerakan tanpa objek pula; seperti melambai, tepuk tangan, high 5 atau tiru aksi dari lagu seperti dalam lagu Anggota Badan dalam Siri Little Ammar.


2- Meniru gerakan motor halus - apa yang anak boleh buat dengan jari jemarinya, dengan mulutnya.


3- Meniru bunyi-bunyi mudah - kaitkan bunyi ini dengan sesuatu yang bermakna. Contohnya bila nak kaitkan aktiviti 'makan', kita sebut 'adik nak makan..nyam nyam nyam... mmmmmmmm sedapnya'. Bunyi ini mudah ditiru, supaya anak 'rasa berjaya' bila dia berjaya sebut (dan ibu ayah faham) dan seterusnya anak akan cuba untuk cakap dan bercakap lagi.


Selain aktiviti harian, antara bunyi yang anak suka tiru adalah seperti bunyi haiwan (contohnya kambing baaa baaa atau bunyi lembu mooooooo atau kucing miau miau). Jangan bimbang bunyi yang anda buat tu kelakar sebab yang kelakar itulah yang anak suka dan cepat ingat.


Selain kita bermain atau kenalkan dengan menggunakan gambar atau buku, anak paling cepat belajar meniru bunyi ini melalui lagu kanak-kanak. Contohnya lagi 'Old McDonald' atau Wheel on the bus atau kalau lagu bahasa Melayu, saya suka nyanyikan lagu "Saya ayam....kok kok kok kok kok".


4- Meniru perkataan -


Bila nak ajar anak tiru perkataan, beri keutamaan kepada perkataan yang anak boleh terus guna


contoh;

- anak gunakan untuk meminta ; bak, nak

-anak gunakan untuk panggil seseoang- nama orang yang selalu dengan anak

-anak boleh gunakan untuk beritahu apa yang dia mahu - contoh nama benda yang anak selalu guna seperti bantal, botol, sikat dll

-anak boleh faham apa aktiviti yang sedang dilakukannya (makan, tidur, mandi, main dan lain-lain)


Tak salah jika anda nak ajar semua nama jenis kenderaan atau ABC atau 123, tapi fikir semula adakah itu perkara yang kritikal atau sangat penting untuk diajar kepada anak pada tahap awal dia bercakap?


Umpama kita berikan sesuatu yang dia tak perlu gunakan pada waktu dan saat itu. Contohnya umpama kita berikan baju sejuk di padang pasir yang panas. Ia mungkin berguna... tapi belum tiba masanya lagi.

Kan ibu ayah nak beri yang terbaik untuk anak? Jadi pilihlah benda yang anak perlukan pada saat penting usianya.


Tapi bagaimana nak ajar anak meniru?


Antara tipsnya:


1- tiru dia, dia akan tiru kita semula.


Sebenarnya aktiviti ini anda boleh buat dari anak berumur 3 bulan lagi. Anak akan mula buat bunyi-bunyi seperti uuuu, aaaa... tiru bunyi yang anak buat.


Apabila anak semakin besar dan pandai gerakkan tangannya, tiru pula aksinya. Anak akan pelik dengan apa yang kita buat. Dan lama kelamaan dia akan faham yang kita sedang meniru aksinya. Emm, tak lama selepas tu anak akan tiru anda pula. (Kecuali bagi sesetengah anak yang saya katakan tadi 'tidak mampu' untuk kuasai skill ini dan perlukan bantuan dari terapis untuk melatihnya).


2- Minta orang lain tiru kita


Saya selalu minta bantuan ayahnya untuk demo apa sahaja yang penting. Sebab dengan melihat contoh, anak akan lebih faham apa expectation kita kepadanya dan lebih mudah anak ikut aksinya.


3- Respon setiap kali anak berjaya untuk tiru (untuk buatkan anak lebih yakin dengan apa yang telah dia cuba).


Jangan terlepas untuk beri respon. Anak tak perlukan reward mahal tapi cukup dengan respon dari anda dengan mata penuh bercahaya yang akan buatkan anak rasa didengari, disayangi, difahami dan lebih yakin diri untuk cuba lagi.


** Esok saya sambung semula untuk 4 skill lagi yang penting sebagai asas untuk ajar anak bercakap.


3- Tunggu dan respon (ambil giliran) - oh begini cara berkomunikasi!
4- Faham apa yang sama dan apa yang tak sama - asas untuk melabel benda, bentuk, sifat dan lain-lain
5- Skill bermain (banyak skill yang dilatih semasa bermain)
6- Eye contact - faham mimik muka



 
 
 

Comments


©2023 by Zuraida Shahime.

bottom of page